Thursday, October 11, 2007

Operasi banjir: Pihak governans yang terlibat dan peranan mereka dalam operasi banjir..

Kumpulan kami juga menyelidik secara terperinci tentang pihak governans. Kami ingin mengetahui pihak governans yang terlibat dan tugas-tugas mereka dalam mengendalikan operasi banjir. Pihak-pihak governans yang telah menjadi respoden kami ialah polis, bomba, Jabatan Saliran dan Pemparitan, UMNO, pihak hospital, Majlis Daerah dan Pejabat Daerah. Di bawah saya menerangkan tugas-tugas mereka dalam operasi banjir secara terperinci yang saya dapati dari hasil penyelidikan kami.

Tugas pihak polis dalam operasi banjir ialah memindahkan mangsa-mangsa banjir ke tempat yang selamat iaitu ke tempat penempatan sementara. Apabila paras air naik ke tahap yang merbahaya, pihak polis terpaksa mengunakan bot untuk operasi pemindahan mangsa-mangsa banjir. Selepas banjir, pihak polis menjaga keselamatan harta benda milik mangsa-mangsa banjir. Contohnya, sentiasa memastikan tiada berlaku kecurian pada rumah-rumah mangsa semasa mangsa-mangsa berada di tempat penempatan sementara. Pihak polis sentiasa melakukan rondaan di sekitar kawasan banjir selama 24 jam sehari. Mereka juga menjaga ketenteraman awam dengan memastikan keadaan berada dalam keadaan terkawal.

Tugas pihak bomba pula adalah dalam bentuk khidmat kemanusian. Mereka bertanggungjawab dalam memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat dengan mengunakan bot. Selain itu, pihak bomba juga memberi bantuan berupa logistik barang ke kawasan penempatan sementara. Mereka juga mengagihkan barang-barang bantuan kepada mangsa-mangsa. Pihak bomba juga bertanggungjawab menghantar pesakit ke hospital. Semasa berlakunya banjir, mereka telah membawa wanita yang hendak bersalin ke hospital.

Pihak dari Jabatan pemparitan dan saliran juga terlibat dalam operasi selepas banjir. Tugas mereka adalah mengkaji kelemahan-kelemahan sistem pemparitan di Kota Tinggi. Selepas itu, mereka membaiki dan membaikpulih sistem pemparitan tersebut. Mereka juga mengkaji kedalaman sungai, empangan dan sebagainya.

Tugas pihak hospital pula adalah memberi bantuan dalam bentuk logistik seperti tilam,selimut makanan, pakaian, tempat tinggal sementara dan ubat-ubatan. Mereka juga bertanggungjawab untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa-mangsa banjir. Mereka harus memastikan kesihatan mangsa-mangsa sentiasa dalam keadaan baik. Mereka juga merawat mangsa-mangsa yang tercedera.

UMNO turut memberi komitmen mereka dalam operasi banjir. Mereka sentiasa turun padang untuk melihat keadaan mangsa-mangsa banjir. Mereka memberi bantuan dalam bentuk peralatan dan kewangan kepada mangsa-mangsa. UMNO tidak mengamalkan diskriminasi politik kepada mereka. Ini bermakna bantuan kepada semua mangsa adalah sama tanpa mengira fahaman politik.

Tugas majlis Daerah adalah menyediakan tenaga kerja untuk urusan pemindahan mangsa banjir dan juga pusat pemindahan untuk mangsa banjir . Selain itu, turut menyediakan perkhidmatan pembersihan selepas banjir dan memberi bantuan pengagihan makanan untuk mangsa banjir. Majlis Daerah Kota Tinggi juga mengecualikan cukai tukaran untuk separuh penggal.

Peranan Pejabat Daerah pula adalah membantu dalam pengagihan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir. Antaranya bantuan paras banjir iaitu bantuan diberikan mengikut paras banjir. Semakin tinggi paras banjir, semakin tinggi nilai bantuan. Selain itu bantuan warisan untuk peniaga. Ini adalah untuk peniaga yang mengalami kerugian akibat dari bencana banjir. Peralatan, makanan dan wang turut diagihkan oleh pihak pejabat daerah kepada mangsa banjir. Kebanyakkannya bantuan tersebut datang dari pihak kerajaan. Selain itu, mereka turut bertanggungjawab dalam pengagihan bantuan dari pihak luar, seperti GIANT, dan sebagainya.

Di sini saya dapat simpulkan semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam operasi banjir. Mereka telah memberi komitmen agar kebajikan mangsa-mangsa banjir tidak terabai. Walaupun peranan pihak-pihak di atas adalah berlainan tetapi matlamat mereka adalah sama iaitu memastikan keselamatan dan kesihatan mangsa-mangsa banjir terjamin.

No comments: