Thursday, October 11, 2007

Pandangan mangsa banjir terhadap pihak governans yang terlibat dalam operasi banjir...

Daripada data yang kami perolehi, hasil daripada penyelidikan kami ke atas penduduk iaitu mangsa banjir, terdapat isu-isu yang boleh diketengahkan. Antaranya, isu pemindahan mangsa banjir ke tempat selamat. Terdapat responden mengatakan bahawa mereka lambat diberi amaran dan pertolongan semasa banjir pertama berlaku. Mereka hanya diberitahu oleh jiran-jiran mereka yang paras banjir semakin meningkat yang memerlukan mereka untuk berpindah. Pihak keselamatan lambat sampai ke tempat sepatutnya. Tetapi secara keseluruhan, pelbagai pihak telah datang membantu mereka untuk beroindah ke tempat yang selamat semasa banjir dengan menaiki bot. Pihak yang terlibat ialah bomba, polis dan askar.

Selain itu, isu keselamatan. Daripada apa yang kami perolehi, rata-rata mangsa-mangsa banjir di Kg.Kelantan dan juga Kg.Tembioh bersetuju bahawa pihak governans terutamanya pihak polis telah memastikan keselamatan dan harta benda mangsa berada dalam keadaan yang terjamin. Mereka mengatakan pihak polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan perumahan mereka. Namun begitu, terdapat juga beberapa mangsa merungut bahawa keselamatan harta benda mereka tidak begitu terjamin. Terdapat kes-kes rompakan yang berlaku ketika mereka berada di pusat pemindahan banjir.

Di samping itu, isu bantuan. Terdapat salah seorang penduduk di Kg. Kelantan yang kami temubual berkata bahawa beliau tidak menerima sebarang bantuan bantuan. Beliau merupakan ibu tunggal. Beliau telah melakukan pelbagai prosedur pendaftaran tetapi gagal menerima sebarang bantuan. Beliau mengadukan masalah tersebut ke pelbagai pihak termasuk parti politik tetapi aduannya diabaikan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku kepada seorang ibu tunggal?. Kebanyakan respoden kami menerima bantuan yang secukupnya malah lebih dari cukup tetapi berlaku sebaliknya pada ibu tunggal tersebut.

Seterusnya pandangan penduduk mengenai isu politik dalam pembahagian bantuan. Hampir setengah responden kami bersetuju bahawa terdapat diskriminasi politik oleh pihak governans. Mereka mengatakan, terdapat sesebuah parti politik yang hanya memberikan pertolongan kepada puak-puak mereka sahaja.

Kami juga mendapati terdapat percanggahan maklumat di antara mangsa dan pihak governans dalam pemberian bantuan. Salah seorang responden kami dari Kampung Kelantan mengatakan terdapat pihak swasta iaitu TV3 telah memberi bantuan kepada mangsa banjir Kampung Tembiuh. Antara bantuannya ialah barangan elektrik dan wang. Tetapi, pihak swasta tersebut memberitahu kepada wartawan yang mereka telah memberi bantuan kepada penduduk kampung Kelantan dan telah disiarkan di dalam tv. Padahal, tiada satu pun penduduk dari Kampung Kelantan menerima bantuan dari pihak TV3. Mengapakah pihak swasta tersebut telah memberitahu maklumat yang salah kepada wartawan?

Dari segi logistik pula, kebanyakan daripada responden kami telah bersetuju bahawa pihak governans telah memulakan kerja-kerja selenggara sistem perparitan, saliran dan juga sungai agar pulih seperti sedia kala. Berdasarkan apa yang kami lihat sendiri, memang terdapat banyak projek-projek selenggara yang sedang dijalankan di Kota Tinggi.

Kesimpulannya disini, terdapat masalah yang timbul semasa operasi banjir disebabkan oleh masalah ketidakcekapan sesetengah pihak governans.

No comments: