Thursday, October 11, 2007

Penemuan penyelidikan: Masalah yang dihadapi oleh Pihak Governans..

Respoden-respoden dari pihak governans berpendapat terdapat masalah ketidakcekapan berlaku semasa operasi banjir dilakukan samaada datangnya dari pihak mereka sendiri ataupun dari pihak lain. Masalah ketidakcekapan tersebut sediki sebanyak akan menjejaskan perjalanan operasi banjir.

Pihak bomba mengatakan mereka menghadapi masalah dengan mangsa-mangsa. Mereka mendapati terdapat mangsa enggan memberi kerjasama kepada mereka terutamanya semasa operasi pemindahan banjir. Ada mangsa enggan berpindah ke tempat yang lebih selamat walaupun aras banjir naik ke tahap yang merbahaya. Selain itu, pihak bomba berpendapat terdapat pihak yang terlibat dalam operasi banjir tidak mengamalkan Dasar MKN 20. Dasar MKN 20 sangat penting kerana dasar tersebut mengenai bagaimana menangani operasi kecemasan dengan lebih efisien. Apabila terdapat pihak tidak mengamalkan dasar tersebut, operasi menyelamatkan mangsa banjir tidak berjalan lancar dengan sepenuhnya. Mereka mendapati kemungkinan pihak askar kurang memberi penekanan terhadap Dasar MKN 20. Ini adalah kerana, Askar hanya memberi tumpuan kepada suatu tempat sahaja. Askar juga hanya tunggu arahan dari komander operasi bagi membolehkan mereka menjalankan operasi menyelamatkan mangsa banjir.

Selain itu, pihak bomba juga berpendapat bot dari JPS tidak mampu untuk menampung mangsa banjir dan telah tenggelam sewaktu operasi banjir dijalankan. Ini telah menjadi kekangan kepada pihak bomba. Bot yang dikendalikan oleh pihak polis pula terlampau laju.

Di samping itu, mereka juga mengatakan berlakunya masalah ketidakcekapan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah kerana pihak ini telah mengunakan system manual iaitu system mengunakan borang bagi menguruskan mangsa-mangsa banjir. Sistem manual tidak sesuai digunakan kerana terdapat ramai mangsa banjir yang perlu diuruskan dan didaftarkan. Tambahan pula, sistem manual tidak sesuai lagi digunakan pada zaman sekarang iaitu zaman sains dan teknologi. System manual ini menyebabkan terdapat kehilangan nama-nama mangsa banjir. Pihak dari jabatan tersebut harus menggunakan computer iaitu seiring dengan era sains dan teknologi.

Pihak hospital juga berdepan dengan kesulitan dan masalah semasa melakukan operasi banjir iaitu terdapat putus perhubungan dengan pihak luar sewaktu bencana banjir berlaku. Selain itu, mereka berpendapat pentadbiran operasi banjir juga tidak cekap kerana mereka mendapati bantuan yang disalurkan oleh parti politik disalahgunakan. Mereka mendapati ada bantuan yang tidak sampai ke tangan mangsa-mangsa banjir.Di sini, kami tidak ingin menyebut pentadbiran yang terlibat dalam menyalahgunakan bantuan.

Pihak UMNO berdepan dengan pergaduhan semasa pengagihan bantuan. Pihak polis sepatutnya menjaga ketenteraman awam dan sepatutnya dapat mengelakkan berlakunya kekecohan. Malangya, berlaku yang sebaliknya..

Pihak polis pula berdepan dengan masalah kerjasama dari mangsa semasa operasi pemindahan mangsa. Ini adalah kerana, terdapat segilintir mangsa tidak mahu berpindah disebabkan mereka lebih sayangkan rumah, hartabenda atau premis perniagaan berbanding nyawa mereka sendiri. Di samping itu, makanan untuk polis juga lambat tiba kepada mereka sewaktu mereka menjalankan tugas operasi banjir. Ini menyebabkan pihak polis terpaksa ikat perut semasa menjalankan tugas mereka dan kemungkinan boleh menjejaskan kualiti kerja mereka. Silap siapa berlakunya masalah tersebut?

Pihak dari Pejabat daerah Kota Tinggi juga terpaksa berdepan masalah dengan orang-orang awam iaitu mangsa banjir. Mereka menyatakan kesulitan yang dialami oleh pihak mereka adalah terdapat penipuan semasa pemberian bantuan. Terdapat segilintir mangsa yang tidak bertanggungjawab telah mendaftarkan nama mereka pada semua tempat pemindahan supaya memperolehi banyak bantuan. Terdapat juga mangsa yang degil untuk berpindah ke kawasan penempatan sewaktu operasi menyelamatkan mangsa dijalankan.

Akhir sekali adalah masalah yang dialami oleh pihak Majlis Daerah Kota Tinggi iaitu kekurangan kakitangan tenaga kerja untuk pengurusan banjir. Selain itu, bekalan makanan tidak mencukupi kerana bilangan mangsa banjir di luar jangkaan. Pendaftaran mangsa banjir tidak dapat dijalankan dengan teratur memandangkan pusat pemindahan juga ditenggelami air.

Kesimpulannya, pihak-pihak yang terlibat haruslah membaiki kelemahan mereka agar tidak lagi berlakunya masalah semasa operasi banjir dijalankan.

No comments: